Pages

Showing posts with label Ikan Bilis. Show all posts
Showing posts with label Ikan Bilis. Show all posts

Monday, 21 December 2015

Ikan Bilis Tumis Cili Api Pedas


Assalamualaikum semua.... Alhamdullilah masih dapat mencuri masa untuk mengadet di sini...
Ini pun di ofis mori mengapdet .... kerja banyak dah settle...tu yang rajinkan diri disini... nasib baik bawa ipad ... dalam tu semua ada gambar yang mori ambil selesai memasak.  Ok jom... mori nak belanja resepi masak Ikan bilis cili api pedas yang kaw kaw.  Boleh meleleh peluh di dahi kalau makan sambal tumis nie.  Famili mori memang suka kan yang pedas... especially yang masakan menggunakan cili api. hehehe.
Sabtu lepas, mori pergi ke cafe baru yang di buka oleh adik mori yang bongsu sekali.  Nama cafe.. Buddiez berdekatan dengan Jalan Ipoh di Viva Residency.  Baru aje mula di bukak.  Dia memang dah bertekad lama untuk membuka kafe. Semuga adik mori, Rosalina berjaya dalam cita cita nya... Insya Allah.  
Salah satu hidangan di kafe nya... Nasi goreng, ada telur mata dan juga sambal tumis ikan bilis cili api.  Memang pedas kaw kaw la.....berpeluh jugak anak mori, adda makan sambal tumis tu. hehehehe... boleh tahan gak dia.  Mori pulak order ayam goreng.. resepi dari abah mori.  heem.... terasa tak puas hati sebab tak makan sambal tumis tu.  hehehe.. Jadi semalam apa lagi... salah satu menu hidangan tengahari mori... sambal tumis ikan bilis cili api yang di masak pedas... kalau saper yang suka pedas..memang berselera, mau bertambah makan.  Kalau ada balance... di panaskan semula akan menjadi kering sedikit...boleh di makan dengan roti... memang maveles...


Resepi nya mudah, tak banyak bahan yang di guna kan... ringkas dan cepat. Ikan bilis pulak mori dah sedia kopek awal2 lagi. Dah di bersihkan dan simpan dalam peti ais.  Bila nak masak, senang bagi mori, terus masak, tak perlu nak bersih kan lagi.  Jom tinjau resepinya di bawah nie..

Resepi Ikan Bilis Cili Api Pedas

Bahan-bahannya

Ikan bilis dalam 2 genggam (200 gram)
1 genggam cili api (lagi banyak lagi pedas)
3 biji bawang putih *
1 biji bawang besar *
sedikit belacan *
garam secukup rasa
gula (Jika perlu)

Bahan yang bertanda * - 
Kisar bawang besar, bawang putih dan belacan sehingga halus, baru masukkan cili api dan kisar sedikit kasar. 

Cara-carannya
Goreng kan ikan bilis sehingga garing dan ketepikan.
Buang minyak menggoreng ikan bilis tadi dan gantikan dengan yang baru.
Bila minyak dah panas, tumiskan bahan kisar tadi sehingga terbit bau wangi.  Pastikan di tumis sehingga berwarna keperangan dan hampir nak garing. 
Masukkan garam secukup nya
Dan jika perlu masukkan gula sedikit (optional yer.  mori tak letak)
Gaul rata dan matikan api.  Biarkan sejuk dulu. baru gaul kan dengan ikan bilis tadi.
Sedia untuk di hidang. 

Senang kan.  

Selamat mencuba dari

Tuesday, 22 September 2015

Kerabu Ikan Bilis Lada Putih

Assalammualaikum 


Resepi simple nie memang pembuka selera buat mori.  Kekadang tu, kalau terasa selera tu kurang sikit... cam malas malas aje rasanya cuba buat resepi nie... makan dengan nasi yang panas, saing kan dengan telur dadar memang ngam.  Cukup sekadar dua lauk dah mencukupi buat mori...tak perlu tambah lauk lain.  Tapi tu la... cili yang di gunakan dalam resepi nie..payah sikit nak cari kat pasar di tempat tinggal mori.
 Resepi nie mori dapat dari kawan baik mori .... jiran mori dari Sabah.  Dia yang mula introduce kan lauk nie kat mori.  Nama dia Safwati.  Berasal dari Ranau Sabah.  Mula tu cam pelik aje... tengok lauk tu penuh dengan cili api berwarna putih... ikan bilis tu rasanya tenggelam oleh cili api putih tu.  Tapi bila makan...tak lah terasa pedas sangat...
Jadi bila dah suka... teringin la buat sendiri kan... jadi tiap kali dia balik sabah... pasti mori akan kirimkan cili putih beli di sana.  Pernah jugak mori jumpa cili api putih di pasar Siti Khatijah di Kelatan.  Tapi kali nie... cili api putih nie ... mori dapat hasil dari pokok cili yang baru mori tanam.  Hasilnya tak sebanyak mana... tapi hati tu teringin jugak nak masak resepi kerabu ikan bilis cili api putih.  Buat jugak la akhirnya...sekurang kurangnya tercapai juga hasrat nak makan lauk ni.   Jadi dalam gambar nie kurang la sikit cili nya.  Ikut kan lagi banyak cili yang di letak kan nya.  Jom mori kongsi kan resepi nie... Terimakasih kat ati...sebab kongsi kan resepi ni dengan mori. 

Resepi Kerabu Ikan Bilis Lada Putih

Bahan2

2 genggam ikan bilis yang telah di goreng garing - ketepikan.
1 genggam cili api putih 
2 batang bunga kantan di hiris nipis halus
5 biji bawang kecil yang di hiris nipis
2 biji limau kasturi yang di perah air nya  dan di hiris nipis
Sesudu makan asam jawa di gaul dengan setengah cawan air.

Cara2 nya:
Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak
Tumiskan bawang kecil tadi sehingga layu.
Masukkan pula bunga kantan, cili api putih dan masak sehingga layu.
Masukkan kulit limau kasturi dan juga jus nya.  masukkan juga air asam jawa.
Biar kan mendidih sebentar.  Akhir sekali masukkan ikan bilis dan gaul rata.
Matikan api. Dan angkat dengan segera.



Selamat mencuba dari saya dan
Salam Hari Raya Aidil Adha

Friday, 11 September 2015

Sambal Tumis Ikan Bilis Lembut

Assalamualaikum semua....

Dah jarang jarang mori share resepi di sini kan... sibuk sikit melayan anak mori sambung belajar.  Melayan kerenah nya duduk di hostel.  Ulang alik ke tempat tinggal nya yang baru, menyediakan kelengkapan nya dan bermacam macam lagi... tapi akhirnya bertahan seminggu aje di tempat barunya.  Merayu kat mori nak balik rumah.  Memang pening melayan nya.... mengalah mori akhirnya..... ikut kan kehendaknya.... katanya nak belajar dekat dengan rumah.  aduhaiiii. Tak larat dah nak layan banyak2... taik minyak nya menjadi jadi.... pening mama nya.

Hari nie mori nak share resepi yang biasa arwah mak mertua mori masakkan dulu.  Bila mori masakkan sambal ikan bilis seperti nie... mesti husben mori akan menyebut... "macam arwah mak buat dulu"... abang suka sambal cam nie....
Sambal ikan bilis lembut nie... sedap makan dengan nasi impit atau di cicah dengan roti, atau di makan dengan nasi lemak.  Memang maveles.  Kebetulan mori masakkan sambal nie memang nak makan dengan nasi impit. Biasa mori akan masakkan lebih, kemudian simpan frozen dalam freezer.  Bila perlu panaskan aje. 
Ikan bilis yang mori beli nie kat Kuala Selangor.  Nak sebut kat mana tu..bukannya reti sangat... agak2 selepas pekan Kuala Selangor , selepas traffic lite, sebelah kiri... deretan kedai tu pun jenis yang lama2 tu... Ada sorang pacik tu yang meniaga ikan bilis dan ikan masin.  Dah banyak kali kami membeli di situ.  Bila ke Kuala Selangor, pasti singgah di situ.  Ikan bilis yang mori beli ni size yang sedang, sekilo RM20. Ikan bilis nie datang dari Tanjung Dawai Kedah.  Baunya pun sedap... dan tak berbau hapak.  

Mori suka kan ikan bilis yang di kopek sendiri, terasa lagi banyak dapat, kalau size nya besar, mori akan belah empat ikan bilis tu...kalau size sedang2 ... belah dua cukup dah. Buang kepala dan isi perutnya.  Kemudian mori akan tampikan, buangkan habuk2 ikan bilis tu.... Selepas tu baru dibasuhkan.  tapi tak lah basuh terlalu lama... agak2 air nya tak keruh sangat.  Toskan airnya sehingga kering, kemudian mori akan letak atas dulang.  Masa nie ikan bilis tu masih belum kering.  Untuk mengeringkan nya...mori akan letak dulang berisi ikan bilis tu dalam peti ais.  Dalam 2 atau 3 hari ikan bilis akan mula mengering.  Baru lah mori simpan dan bekas simpanan.  Bila nak masak, mori dah senang, tak perlu nak mengopek atau membasuh... dan ikan bilis akan terasa bersih dan ranggup. Kalau nak buat kerabu ikan bilis atau nasi goreng ikan bilis, tak perlu bersusah susah lagi nak membasuh.  Hemmm !! dah bagi tau cam mana mori membersih kan ikan bilis....nak tau cam mana mori masak sambal ikan bilis lembut nie... jom tengok kat bawah nie resepinya berserta gambar.... senang dan simple....


Seperti gambar pertama tu... kisarkan sebiji bawang besar, sebiji bawang putih dan sedikit belancan, 
Sediakan juga cili kering yang telah di kisar sehingga halus. Agak2 dalam secawan setengah atau 2 cawan.
Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.  Tumiskan bawang yang telah di kisar tadi sehingga terbit bau wangi.  Kemudian baru masukkan cli kering kisar tadi. Tumis sehingga cili tadi pecah minyak baru di masukkan asam jawa yang di gaul dengan secawan air. Kalau agak2 masih kurang air, tambah kan lagi setengah cawan air.

 Bila dah mendidih sambal tadi, baru masukkan ikan bilis seperti gambar di bawah nie.  Gaul rata untuk beberapa minit,  kemudian baru masukkan bawang hiris seperti gambar kedua di bawah nie.

 Masak sehingga bawang dan ikan bilis lembut.  Masukkan garam dan gula secukup rasa.
Gambar bawah nie...sambal ikan bilis yang telah siap di masak.
Senang aje kan... cuba lah.

Selamat mencuba dari

Thursday, 11 July 2013

Rendang Daging dan Sambal Tumis Cili Api Ikan Bilis Nipis dengan Kentang sebagai pembuka selera berbuka puasa

Assalamualaikum semua dan Salam Ramadhan buat semua yang menyambut ibadah puasa di bulan yang mulia ini.  Sekiranya ada silap berbicara sepanjang mori berblogging di alam maya Mori mohon ampun dan maaf.   Semuga di bulan Ramadhan yang mulia ini kita dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh kesabaran dan keinsafan.  Insya Allah.

Hari pertama Ramadhan, Alhamdulllah, mori dapat pulang awal dari tempat kerja.  Dapatlah mori hidangkan masakan sendiri untuk family mori.  Kali ini mori masak Rendang Daging sebagai main menu, dan Sambal tumis cili api Ikan Bilis Nipis dengan Kentang sebagai sampingan.  Mori masakkan juga sayur kailan sebagai lauk tambahan.  Tapi dalam 3 lauk tu... lauk Sambal tumis cili api Ikan Bilis Nipis tu juga lah yang membuka selera untuk berbuka puasa.  hehehehe... Memang lauk ini lah yang mori amik dulu untuk berbuka semalam..  Memang pedas tapi menyelerakan.....hehehehe. 


Mori tak kisah sangat lauk yang tak berkuah, bahkan anak mori pun sama jugak... cuma husben mori kurang sikit....mesti nak ada kuah sikit.... jadi mori masakkan rendang tu basah basah sikit supaya ada kuah ...jadi taklah kering sangat.
Rasanya mori dah banyak kali post resepi ikan bilis nipis yang kini menjadi kegemaran kami sekeluarga.  Bila di goreng garing, memang terasa keranggupannya.  Cuma kali ni mori gadingkan ikan bilis nie dengan kentang pulak... memang maveles....
Resepinya mori salinkan juga di bawah nie... tapi lebih kurang sama aje cam yang lepas lepas mori masak...


Resepi Sambal Cili Api Ikan Bilis Nipis dengan Kentang

Bahan-bahannya:

1 paket ikan bilis nipis di goreng garing dan ketepikan.
4 biji kentang di potong wedges, digaul kan dengan sedikit garam dan kunyit di goreng dan ketepikan.
1 biji bawang holland di potong wedges dan ketepikan
Garam secukup rasa
Gula sedikit (optional)

Bahan-bahan yang di kisar atau di tumbuk dengan lesung
2 bij bawang putih
1/2 inci belacan
2 biji bawang kecil rose
1/2 biji bawang besar merah
Segenggam cili api kampung
(mori akan tumbuk dulu bawang putih, belacan dan bawang kecil rose sehingga hancur, kemudian baru lah di masukkan bawang merah dan cili api kampung dan kemudian di tumbuk kasar)

Cara-carannya
1.   Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak untuk menumis anggaran 3 sudu makan.
2.   Bila kuali telah cukup panas, tumiskan bahan yang di tumbuk tadi sehingga bau wangi dan sedikit garing.
3.   Masukkan pula bawang holland, kentang dan gaul sehingga cili rata kesemua bahan.
4.  Perasakan dengan sedikit garam dan juga gula jika suka.
5.   Matikan api dan biarkan sejuk seketika, barulah di masukkan ikan bilis tadi dan di gaul sehingga rata.
6.   Barulah boleh dihidang kan.


Lama sungguh mori tak masak rendang daging.... rasanya last mori masak rendang daging pun masa raya tahun lepas...hehehe.  Memang kurang sikit kami skeluarga makan daging, bukan peminat tegar daging ....hehehe.. mori pikir nak masak something special first day berbuka puasa.... tu yang mori cadangkan kat husben belikan daging hari sabtu lepas kat pasar tani berdekatan rumah.   Konon masak special sikit lah... ye ker special...hehehe tak kisah lah kan.  Jom layan rendang daging yang mori masak untuk berbuka semalam.... dan cukup untuk kami bawa ke sahur tadi.

Resepi Rendang Daging

Bahan-bahannya
1 kilo daging yang di hiris nipis, di bersihkan dan ketepikan
1 biji santan kelapa
1 helai daun kunyit di hiris kasar
1 helai daun limau purut di hiris kasar
Garam secukup rasa
Gula jika suka (Optional)

Bahan-bahan yang di kisar halus
1 biji bawang besar merah
10 biji bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
5 batang serai

2 senduk cili kering kisar.
1 paket kecil kerisek kelapa
(Jika rajin nak buat sendiri kerisek kelapa, goreng kan 1/2 biji kelapa parut sehingga keperang perangan, kemudian tumbuk kan sehingga hancur dan berminyak.  Mori guna yang segera jer.....hehehe)

Cara-carannya:
1.   Panaskan kuali atau periuk dan masukkan sedikit minyak masak untuk menumis.
2.   Tumiskan bahan yang di kisar bersama cili kisar tadi sehingga terbit minyak.
3.   Masukkan daging dan gaul rata.  Biarkan daging masak.  Bila daging sedang masak, air dari daging akan keluar sendiri.  Rajin rajin gaul supaya tak berkerak di bahagian bawah.  Api biarlah sederhana kecil.
4.   Bila daging agak2 dah kering masukkan santan tadi dan sedikit air.  Gaul rata dan biarkan ianya mendidih sehingga daging lembut.  Andai kata daging masih belum lembut, masukkan air sedikit berulang kali sehingga daging masak sempurna.
5.   Akhir sekali masukkan kerisik kelapa dan gaul rata.
6.  Perasa kan dengan garam secukup rasa dan juga sedikit gula jika suka.
6.   Tabur daun kunyit dan daun limau purut.  Gaul rata dan matikan api.



Saturday, 15 June 2013

Sambal Goreng Ikan Bilis Nipis dengan Kacang Panjang

Assalammualaikum semua


Hari nie mori tak mana2 cuma lepak lepak di rumah aje.  En abang dah janji nak abis kan kerja yang lama terunggak.... lama betul...berbulan bulan tertunggak.  Asik sibuk memanjang.... setiap minggu ada aje aktiviti nyer... kalau tak gie memancing, dia akan ikut ride motor dengan groupnya... tidak pun kena panggil kerja.    Jadi dapat peluang dia ada cuti nie....mori minta dia abis kan kerja kerja yang lom selesai kihkihkih... 


Entri hari ini mori nak kongsikan resepi sambal goreng ikan bilis nipis yang mori padakan dengan tempe dan juga kacang panjang.   Ini lah rupanya ikan bilis nipis, yang mori maksudkan.  Rasanya bila di goreng ranggup macam keropok. Memang sedap bila di ratah.  Bila di buat sambal.... rasanya bertambah sedap lagi.  


Resepi Sambal Goreng Ikan Bilis Nipis dengan Kacang Panjang

Bahan-bahannya:
Ikan Bilis Nipis
300 gram kacang panjang
1 paket tempe dalam plastik @ 3 paket tempe yang di bungkus dalam daun.

1 biji cili merah di cincang halus
10 biji cili api di cincang halus
2 batang serai di hiris halus
1 biji bawang besar di potong dadu
3 biji bawang putih di potong dadu

1 sudu kecil sos ikan.
Garam secukup rasa.

Cara-carannya:
1.   Panaskan kuali dan masukkan minyak.
2.   Tempe di potong serong, kemudian di gaul dengan garam dan kunyit.  Goreng kan garing dan ketepikan.
3.   Kacang panjang di kerat 1 inci panjang, kemudian di goreng sebentar, angkat dan ketepikan.
4.   Goreng kan ikan bilis nipis sehingga garing, angkat dan ketepikan.
4.    Tinggalkan baki minyak sedikit dari dalam kuali.  
5.  Tumiskan bahan yang di cincang, cili merah, cili api, serai, bawang besar dan bawang putih.
6.   Masukkan 1 sudu sos ikan dan garam.  Gaul rata.
7.  Bila bahan2 telah agak garing.  Matikan api.  Masukkan tempe dan kacang panjang gau rata.
8.   Akhir sekali masukkan ikan bilis nipis gaul rata dan boleh di hidangkan.





Sunday, 9 June 2013

Kerabu Ikan Bilis, Asam Pedas Ikan Siakap, Sambal Belacan Limau Ulam Pegaga, Sotong Goreng Kunyit


Balik dari KL tengahari tadi..... salah sorang adik mori ikut sama... Dia mintak tolong hantar kan ke Shah Alam..... Tapi sebelum ke Shah Alam, singgah dulu ke rumah mori untuk makan tengah hari.  Seronok pulak rasanya... dah lama gak adik mori tak datang umah mori....hehehe...walaupun kelam kabut nak lekas memasak .... nak kejar kan masa...... Lauk pertama yang jengah fikiran... ialah kerabu ikan bilis...favourite kami sekeluarga.... apa lagi.... itu lah lauk pertama yang mori buat dulu... sambil sambil tu.... mori buat kan juga masak asam pedas ikan siakap.   Layan pulak dengan sambal belacan perahan limau kasturi....kemudian di hiris kan limau ke dalam sambal dan berulam kan ulam pegaga.... memang marvelous...hehehe... Pas tu mori buat kan sotong goreng kunyit... untuk tambahkan lauk lagi.  


Anak mori makan lauk kerabu ikan bilis nie tanpa lauk lain...hahahha... memang favourite dia....tapi tu lah...bawang...dia tolak ke tepi....langsung tak suka...hehehe... mori suruh amik lauk yang lain.... dia kata....ini pun lauk juga...... pening mama nya...yang masak macam2...tapi satu lauk jer yang dia makan sampai sudah..... Resepi nie sebenarnya dah pernah ada dalam blog mori sebelum nie.... tapi terlebih rajin kali ni....salin kan juga di sini.......  jom layan resepi resepi yang berulang kali dah tayang di sini...hehehehe

Resepi Kerabu Ikan Bilis

Bahan-bahannya:
200 gram ikan bilis
2 kuntum bunga kantan dihiris nipis
2 batang serai dihiris nipis
1 biji bawang besar di potong dadu
1 biji buah tomato di buang biji nya dan dipotong dadu
10 biji cili api di hiris nipis
1 tangkai daun ketumbar
8 biji jus air limau kasturi
Sedikit garam
Sedikit gula

Cara-carannya:
1.   Goreng kan ikan bilis sehingga garing dan ketepikan.
2.   Gaul kan rata kesemua bahan kecuali jus limau kasturi, garam dan gula.
3.  Masukkan  garam secukup rasa dan juga sedikit gula.
4.  Akhir sekali masukkan jus limau kasturi sedikit demi sedikit.  Perasa kan masam manisnya.... kalau kurang masam, tambahkan sedikit lagi jus limau. 
5.   Akhir sekali gaul kan sekali ikan bilis sehingga rata.  
6.  Sedia untuk di hidang.


Resepi Asam Pedas Ikan Siakap

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan jenahak
1 kuntum bunga kantan
1/2 biji bawang besar di hiris nipis
1 biji tomato di potong baji
5 sudu makan cili kisar
Garam secukup rasa
Serbuk lada hitam
Air asam jawa

Bahan yang di kisar
1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
1/2 inci belacan
1 biji buah keras
1 batang serai

Cara-carannya
1.   Panaskan kuali dan masukkan minyak masak secukupnya
2.   Tumiskan bahan yang di kisar sehingga terbit minyak, kemudian masukkan cili kisar dan gaul sehingga masak sempurna.
3.    Bila cili telah cukup masak, masukkan air asam dan air masak secukupnya.
4.   Masukkan juga buah tomato dan juga bunga kantan.  Biarkan mendidih.
5.   Akhir sekali masukkan ikan, bawang besar yang di hiris, garam secukup rasa dan masak sehingga ikan masak sempurna.
6.   Taburkan serbuk lada hitam dan gaul perlahan supaya ikan tak hancur.  Matikan api.


Resepi Sotong Goreng Kunyit

Bahan-bahannya:
1/2 kilo sotong putih di hiris kasar.
5 biji cili api di belah dua
1/2 biji bawang holland di hiris kasar
3 helai daun ketumbar
1 batang serai
2 sudu makan sos tiram
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Serbuk Lada hitam

Cara-carannya:
1.   Sotong yang telah di bersihkan di hiris kasar, kemudian di gaulkan dengan sedikit serbuk kunyit.
2.   Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak.
3.   Masukkan sotong dan goreng sehingga masak.  (Jangan masak terlalu lama, nanti sotong akan menjadi liat).
4.   Masukkan bawang holland, serai cili dan juga sos tiram.  Gaul rata kesemua bahan.
5.   Masukkan garam secukup rasa dan akhir sekali taburkan serbuk lada hitam.  Matikan api.


Ulam pegaga nie... sedap kalau di makan dengan akar2 nyer sekali.... memang terasa pahit2 sikit.   Bila nak makan....gulung gulung ulam tu...kemudian di colek dengan sambal belacan limau.... perrgghhh memang berpeluh lepas tu.... mavelous sungguh...hehehe...  Dalam banyak2 ulam.... ulam pegaga yang paling mori suka.... tapi mesti dengan akar nya..... hehehe.. sedappp tu...kihkihkih... 




Saturday, 8 June 2013

Sambal Tumis Ikan Bilis Nipis



Mori sekeluarga memang suka makan sambal tumis ikan bilis...lebih2 lagi di campur dengan kentang yang di hiris nipis dan di goreng garing.  Stock ikan bilis memang sentiasa ada aje dalam peti ais.  Kekadang anak mori... adda akan mintak di buatkan sambal gesek..... favourite dia tu.  Itu yang ikan bilis memang sentiasa ada aje.  Lauk sambal tumis ikan bilis nie ...memang dah serasi dengan kami satu famili.
Tapi kali nie.... mori guna ikan bilis nipis...ikan bilis nie... besar dari biasa... bila di goreng... ranggup nya macam keropok.... lepas sekeping sekeping masuk mulut...tak sedar dok meratah...hehehe... actually mori tak tau apa nama nak di panggil ikan bilis ni .... kalau ikut kat paket ikan bilis tu... cuma di sebut ikan bilis istimewa...hahahaha.. pelik la pulak... so mori tanye kat maid.... kalau kat medan...ikan bilis nie di panggil apa.....  dia cakap ni ikan bilis nipis....tak der tulang.... jadi mori ikut je lah.... panggil nie ikan bilis nipis. 


Hari nie mori masak lambat sikit....sebenarnya bukan lambat sikit...lambat banyak.... hahaha...lambat sampai ke rumah selepas balik dari majlis penyampaian anugerah cemerlang untuk pelajar yang berjaya.   Menyinggah mencari barang lagi...tu yang lewat sampai ke rumah....  bila dah lewat.... masak cam nie... memang senang..dan cepat.... en abang pun kata sedap.... hehehe... senang hati kita...kihkihkih...jom layan resepinya... memang mudah dan senang....

Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis Nipis 

Bahan-bahannya:
1 paket kecil ikan bilis nipis
4 biji kentang di kupas kulit dan hiris nipis
1 biji cili merah di cincang kasar
5 biji cili api di cincang kasar
1/2 biji bawang holand di potong baji

1 biji bawang besar *
1 biji bawang putih *
1/4 inci belancan *
10 biji cili api  *
Kisar ke semua bahan bertanda *

Garam secukup rasa.
1 sudu teh gula.

Cara-carannya:
1.  Gaul kan kentang dengan garam dan sedikit kunyit.  Goreng kan bersama minyak masak sehingga garing. Toskan dan ketepikan.
2.   Goreng kan pulak ikan bilis nipis sehingga garing dan ketepikan.
3.   Tumiskan bahan yang di kisar tadi.  Agak agak dah separuh masuk, masukkan bahan yang di cincang tadi dan bawang holand tadi.
4.   Bila sambal telah masak, masukkan garam secukup rasa dan juga gula.  Matikan api.  Biarkan sejuk dulu.
5.  Bila sambal dah sejuk baru gaulkan ketang sehingga rata.  Akhir sekali baru masukkan ikan bilis nipis yang telah di goreng awal tadi.
Tujuan nya di masukkan akhir supaya ikan bilis sentiasa rangup bila di makan nanti.  Baru sedap krap krup krap krup..bila dikunyah..hehehehehe


Selamat mencuba


Monday, 15 April 2013

Sambal Ikan Bilis Cili Api



Lauk nie seringkas abis...tapi bila pekena ngan nasi yang panas, memang maveles... hehehe.. Ikut kan plan nak masak lauk lain sekali.... tapi tengah masak...teringat yang petang ada kenduri berdekatan rumah.  Terus mori cancel masak lauk lain.....karang membazir pulak.
Memang favourite kami satu rumah lauk ikan bilis.  Masak apa pun ikan bilis, Insya Allah habis di kerjakan.  Kalau tak habis makan semasa lunch, simpan untuk dinner, nanti colek dengan roti... pergghhh rasa rasa cam tak cukup jer...hehehe...
Resepi Sambal Ikan Bilis Cili Api

Bahan-bahannya:
2 genggam ikan bilis kopek yang telah di bersihkan
3 biji kentang sederhana besar di kupas dan di potong baji cam kentang wedges
1 biji buah keras
3 biji bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belancan
1 biji bawang besar
10 biji cili api.
Garam secukup rasa

Cara-caranya:
Goreng kan ikan bilis sehingga garing dan ketepikan.
Gaulkan kentang dengan garam dan kunyit kemudian goreng kan sehingga masak.  Ketepikan.

Tumbuk buah keras, bawang putih, kunyit hidup dan belacan sehingga hancur.  Baru di masukkan bawang besar dan tumbuk kasar.  Jangan tumbuk sampai hancur.  Kemudian masukkan pula cili api dan tumbuk sebiji asal pecah aje.  Masukkan sebiji demi sebiji.  Cili api tu biar kasar kasar. 

Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
Tumiskan bahan tumbuk tadi sehingga masak.
Masukkan garam secukup rasa.
Bila dah cukup masak, matikan api dan biarkan sambal sejuk sebelum di gaul dengan ikan bilis dan kentang tadi.
Ikan bilis akan terasa ranggup dan pedas pedas gitu. 

Mori rebuskan bendir di cicah sambal belacan untuk en abang.   Dia sorang aje kat dalam rumah suka makan bendir... yang lain suka gak..... suka tengok aje...

Saturday, 17 November 2012

Kerabu Ikan Bilis

Menu untuk lunch tadi...tak sempat nak masuk kan sekali dalam entri Ikan Pari Percik.  Sibuk sikit hari nie.  Tadi gie rumah jiran ....yang nak buat kenduri kawin anak nya...baru balik dari sana tu yang baru berkesempatan nak post kan resepi nie... Dah lama tak buat menu nie...bila Adda tengok lauk nie untuk tengahari tadi....suka dia... katanya dah lama mama tak buat.  Memula dulu rajin gak buat lauk nie...lama kelamaan tu rasa cam jemu... lupa la sekejap..hehehehe...
Resepinya copy and paste je la kan...


Resepi Kerabu Ikan Bilis

Bahan-bahannya:.
Ikan Bilis yang telah digoreng garing
Bawang besar yang di potong dadu
Cili Api yang di hiris halus.
Daun Ketumbar di hiris halus
Tomato di potong dadu
Serai di hiris halus

Cara-caranya.
Gaul ke semua bahan tadi dan perah kan limau kasturi dalam 5 atau 6 biji. 
Masukkan garam secukup rasa.
Sedia untuk di hidang.

Nota:  Kali nie mori kehabisan limau kasturi....mori guna limau nipis jer...



Tips untuk mendapat ikan bilis bila di goreng garing.
Ikan bilis di cuci dulu dan toskan air nya.  Kemudian disimpan dalam peti ais.  Kalau bole guna bekas yang ada lubang2.  Contoh bekas plastik yang cam raga tu.  Semasa dalam peti ais .... air dari ikan bilis tu akan di sejat oleh haba peti ais.  Selepas beberapa hari baru la sesuai untuk di guna dan bila di goreng ikan bilis akan garing.  Tapi jangan pulak biarkan terlalu lama terdedah dalam peti ais sebab lama kelamaan ikan bilis akan menjadi kering dan garing sendiri dalam petiais..huhuhuuhu... hancur la pulak bila digoreng.  Jadi bila agak2 dah kering .... masukkan dalam bekas bertutup pulak. Dan bole di guna bila2 masa tanpa perlu membasuh lagi.
Selamat mencuba


Tuesday, 26 June 2012

Ikan Bilis Masak Kicap

Memula mori jumpa resepi ni masa tengah terjah di dapur alam maya dh lama...x hingat bila masanya.... mori tengok sepintas lalu aje resepi nie ...  masa tu tengah mencari resepi kek yang menarik... tapi jumpa resepi nie.. cam interesting...baca aje la....tapi tak teringat nak copy atau salin resepi.
Dalam 2 minggu lepas kot maid ngadu...tak tau nak masak apa... mori pun buntu nak pikir kan masa tu...kita ni dah la bergegas nak gie keje..dia lak tanya kita nak masak apa...terus terlintas ikan bilis masak kicap..
Dan dan situ juga la mori bagi tau cara2 cam mana nak buat... mori masih ingat cara2 nya... sebab simple sangat..... dan semenjak tu la menu nie jadi kegemaran adda, anak mori. 
Semalam balik kerja...tergerak hati nak masak sendiri ikan bilis masak kicap nie... sebab selama nie maid mori yang buat kan berkali kali... tapi kali nie mori nak masak sendiri...hehehe.  Pada empunya resepi mori mintak maaf la yer... mori dah hilang punca mencari saper la punya resepi nie.  Kalau ada sesapa yang tau....tolong la bagi tau.  Tapi mori masukkan juga resepi nie dalam blog mori sebagai simpanan.  Cuma sumber resepi mori akan letak unknown.  Minta maaf sekali lagi.  Tapi apa pun terimakasih la kerana berkongsi kan resepi.  Sememangnya sedap walaupun simple.
Resepi Ikan Bilis Masak Kicap
Sumber: Unknown

Bahan-bahannya:
2 genggam ikan bilis.
1 batang cili merah di hiris
10 batang cili api di hiris dan di ketuk.
1 biji bawang holand di hiris.
1 sudu kicap manis
1 sudu cili kering yang telah di blend (nie optional.. mori saje je letak untuk rasa pedas... tapi x pedas pon)
Secubit garam untuk perasa.

Cara-caranya:
Ikan bilis di goreng garing dan di ketepikan.
Keluarkan baki minyak dan tinggal kan sedikit saje.
Tumiskan bawang sehingga naik bau wangi.
Masukkan cili blend dan tumis sehingga wangi.
Masukkan cili merah dan cili api yang telah di hiris tadi.
Masukkan kicap manis dan gaul rata.
Taburkan garam sebagai perasa.
Tutup kan api
Masukkan ikan bilis tadi dan gaul rata.
Sedia untuk di hidang.
Memang sedapppp... berselera...mori makan ngan roti aje....adda pun apa lagi.. lauk ni di tuju dulu... maid mori yang konon diet...tak mo makan malam.... terkedek kedek bawa piring meratah lauk nie... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...