Pages

Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Thursday, 16 June 2016

Tomyam Bangkok dan Ikan Senangin Masak Asam

Assalamualaikum dan salam Ramadhan...

Hari nie yang ke 11 kita umat Islam berpuasa.  Seronok bila tiba bulan puasa nie, macam macam juadah di fikiran yang kita nak masak untuk berbuka,  Itu pun kalau sempat ler... Kekadang tak sempat memasak, singgah di bazar aje.  Dulu ada pembantu mori sediakan bahan2 untuk mori masak, sekarang semua kena sediakan sendiri. Pastu nak mengemas selepas memasak,.. bab nie yang meletihkan hahahha.. tapi kena buat jugak.

Hari nie mori nak syer resepi tomyam bangkok.  Mana mori dapat resepi nie..hehehe.. .of course la dari facebook... waahhh macam2 resepi jumpa kat sana... seronok gak.  Resepi nie, anak mori yang tag kan kat fb mori.. katanya balik kelas, dia nak masak nie..... mori ok kan aje.  Balik petang dari kelas... dia call katanya kat kedai nak beli bahan masak tomyam...hahahaha.. terkejut jap mori... dia punya kehendak nak masak tomyam... sanggup singgap kedai beli bahan...hahahaha.. kalau bukan kehendaknya.. jangan harap dia nak ke kedai.  Jadi kali nie.. anak mori yang memasak tomyam nie.. mori pantau la sebelah nya... tengok cara2 di resepi senang aje..  mori layan aje la dia memasak tomyam ...

Resepi Tomyam Bangkok

Bahan2 nya (untuk 3@4 orang makan)

Sediakan udang, sotong, isi ayam, daging atau apa saja yang suka
2 batang serai di titik
2 inci halia di ketuk
1 inci lengkuas di ketuk
1 biji bawang holland di potong wedges
10 biji cili api di tumbuk kasar
2 biji buah tomato di potong wedges
6 biji limau kasturi atau 2 biji limau nipis di ambil jusnya
Garam secukup rasa
sayur seperti carrot, bunga kobis, jagung - mana yang suka (mori tak letak sayur)
1 pek cendawan tiram di koyak2kan
Beberapa helai daun ketumbar

Cara-caranya

Sediakan periuk atau kuali ke... (mori guna kuali jer)
Masukkan air agak2 bahan yang kita sediakan.  
Biarkan mendidih, masukkan pula serai, halia, lengkuas, cili api  dan biar kan mendidih sebentar.
Kemudian masukkan pula bawang holland, tomato dan sayur jika ada (sayur yang keras2 sikit tu kena masuk dulu)
Dah mendidih semula, baru masukkan bahan2 seperti udang, sotong, isi ayam. 
Akhir sekali baru masukkan cendawan tiram dan juga jus limau tadi.  
Masukkan garam agak2 secukup rasa dan juga daun ketumbar.  Kacau rata.  Rasa kena seimbang, masin, masam kena cukup.  Tapi bulan puasa kan.. main agak2 jer la... Alhamdullilah.. sedappp 
Siap. boleh la di hidang.

Wallaaaa... tomyam bangkok 

Sementara anak mori masak tomyam, mori prepare kan ikan masak asam.  Ni  memang favourite kat dalam rumah mori.  simple aje resepi ie.. mori dah pernah syer dalam blog mori sebelum nie rasanya.. dah lupa lak mori mana letaknya..hahahaha  Mori dah lupa nama ikan yang mori masak nie... tapi ikan nie hasil husben mori gi memancing.. rasanya nie ikan senangin...  


Resepi Ikan Senagin Masak Asam (Sos Ikan)

1 ekor ikan di bersihkan isi perut nya.
Perap kan bersama garam dan kunyit.
Goreng kan hingga garing dan ketepikan.

Sediakan bahan2 menumis

1 biji bawang holand di hiris kasar
1 biji buah tomato di potong wedges
5 @ 6 biji cili api to hiris kasar
1 batang serai
1 inci halia di hiris
1 sudu makan sos ikan

Cara-caranya
Sediakan kuali dan masukkan minyak masak.
Tumis kan bahan di atas kecuali sos ikan
Bila dah layu, masukkan sos ikan dan sedikit air dan biarkan didih.
Mori tak letak garam, sebab sos ikan dah masin.
Kacau rata kesemua bahan, bila dah didih, tuangkan kan atas ikan tadi.

Tadaaa dah siap.  makan panas panas.. maveles...


Selamat mencuba dari saya

Monday, 22 February 2016

Ikan Jenahak masak lemak sos ikan


Assalamualaikum semua...  Lama tak bersiaran... memang sibuk sekarang tanpa pertolongan pembantu rumah.  Tujuh tahun dia bersama kami,  terasa juga kehilangan bila dia dah balik ke kampungnya.    Tu yang bertambah tambah sibuk sekarang.  Dulu bangun pagi, dah tersedia minum... sekarang kena buat sendiri...Dulu balik kerja ... ada yang menunggu di rumah... sekarang balik kerja... kena la sendiri bukak pagar..bukak pintu... siram pokok sebelum masuk rumah. Tapi ada yang best nya... terasa seperti bersenam, berpeluh peluh membuat kerja rumah.  Mungkin ada hikmah nya pemergiannya.   mori boleh exersis slimkan semula badan...



Jom ... hari nie mori nak syer resepi yang mori olah sendiri.  Resepi nie guna sos ikan sebagai perasa masam2 nya dan santan untuk rasa lemak2 nya.  Mori suka kan resepi nie.  bila saingkan ngan nasi yang baru lepas masak, masih berwap panas.. memang sedapp betul...tak sedar habis lauk dan nasi dalam pinggan dalam sekejapan masa.  Sebelum nie mori ada masak lauk nie dengan ikan siakap... kali nie mori masak dengan ikan jenahak.

Resepi Ikan Jenahak

Bahan- bahan:

Isi ikan jenahak yang telah di bersih kan.  (Ikan lain pun boleh juga)

4 biji bawang putih di ketuk
1/2 biji bawang merah di hiris
1/2 biji bawang holand di potong baji
10 biji cili api di belah dua (kurang kan cili kalau x tahan pedas)
1 batang serai di hiris nipis
1/2 inci halia di hiris nipis
1 biji tomato
Sos ikan
1/2 cawan pati santan
1/2 cawan air
2 helai daun limau purut
Garam secukup rasa
Minyak masak untuk menumis

Cara-carannya
1.   Isi ikan jenahak di bersih kan.  Gaulkan dengan kunyit dan garam.  Goreng kan hingga garing dan ketepikan.

2.   Tinggalkan sedikit baki minyak menggoreng ikan tadi dalam kuali.  Tumiskan bawang putih sehingga wangi.

3.   Masukkan serai, halia dan bawang merah.  Tumis sehingga wangi baru  masukkan bawang merah, holand, cili api dan tomato.  Masukkan juga sedikit air.  Gaul rata.  

5.   Kemudian masukkan sos ikan ke dalam tumisan tadi. Jangan banyak sangat, Sekadar 1 sudu kecil sudah mencukupi. 

6.   Baru masukkan santan, perasakan dengan sedikit garam.  Bila dah mendidih, tuangkan ke atas ikan tadi.

Walllaaa !!! dah siap... 


Selamat mencuba dari saya





Thursday, 14 January 2016

Sambal Ikan Siakap yang sedap


Assalamualaikum semua.... jommmm, hari ni saya belanja resepi yang senang betul....tapi sedap... bahannya pun tak banyak.  Waktu memasak pun singkat, sebab tak perlu nak sedia kan bahan yang bagai2..hehehe... kan mori dah pernah cakap....mori ni suka yang simple... yang masak cerewet2 nie... sekali sekala aje la bagi mori.  Kalau terlalu lama duduk di dapur, nanti kerja lain tak siap..kan kan.  


Yang pertama mesti lah ada ikan siakapkan... dah nama resepi ikan Siakap kan.... hehehe.. Selepas di bersihkan , mori belah ikan siakap nie.. pas tu mori kelar2 supaya bila di gaul garam dan kunyit akan rata semua bahagian... sedapp tau..bila dah di goreng garing.  Masa nak menggoreng, guna kan minyak yang banyak supaya ikan tenggelam dan masak semua bahagian.

Jom tengok bahan2nya dan cara2 nya.

Resepi Sambal Ikan Siakap

Bahan-bahannnya:

1 ekor ikan siakap yang telah di bersihkan.
Sedikit air asam jawa. (1sudu kecil asam jawa gaul dengan sedikit air.)
Sedikit garam secukup rasa
Sedikit gula
1 cawan cili kisar

Bahan2 untuk dikisar
1 biji bawang besar
4 biji bawang putih
1/2 inci halia 
1 batang serai
Sedikit belacan.

Cara-caranya
Ikan siakap di gaul garam dan sedikit kunyit.  Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.  
Tunggu minyak panas baru di masukkan ikan.  Kalau masukkan ikan sebelum minyak cukup panas, nanti ikan akan melekat kat kuali. Goreng agak2 garing, kemudian angkat dan ketepikan.
Lebihan minyak menggoreng di asingkan dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
Tumiskan bahan kisar sehingga terbit minyak dan berbau wangi.
Masukkan cili kisar dan gaul rata.  Bila cili dah masak sempurna masukkan air asam jawa. Jangan banyak sangat airnya. Gaul rata.
Perasakan dengan garam dan sedikit gula secukup rasa.
Matikan api.  Tuangkan sambal tadi ke atas ikan.  Sedia untuk di hidang.



Selamat mencuba 
Sekian dulu dari saya

Tuesday, 1 December 2015

Ikan Dory masak Halia Sos Ikan


Assalamualaikum semua....

Hari nie mori nak syer something different dari dapur mori.  Bila dah buntu tak tau nak masak apa...mori akan modified apa yang ada di dapur untuk di jadi kan hidangan..hehehehe....Janji apa yang di hidang kan tu boleh di makan la..... kang konon nak masak sesuatu yang lain dari lain...tapi tak leh telan...kan haru tu...
Sebenarnya dah beberapa minggu mori masak lauk nie... hari nie baru jumpa masa sikit untuk mengapdet kan dalam nie...hehehe..cian kan.  Ikan nie mori beli frozen kat pasar raya...mori akan potong kecil2 dan simpan dalam freezer dulu.  Bila nak masak, baru mori keluarkan dari freezer. Senangkan gitu.... Biasa mori akan goreng aje ikan dory nie bersama tepung... atau pun mori akan masak masam manis...  tapi kali nie mori masakkan ikan dory nie dengan halia dan sos ikan.  Rasanya sedap.. ala ala thai sikit.. tapi mori guna kan halia yang banyak untuk mengimbang kan rasa sos ikan dan ikan dory tu.  


Cara memasaknya sungguh simple... mori tidak menggunakan tepung kali nie.  kali nie ikan tu mori celup dalam telur dan sedikit black pepper dan terus di goreng.  Rasanya sedap ... seperti celup tepung jugak... jom layan resepinya di bawah nie..

Ikan Dory masak Halia Sos Ikan

Bahan-bahannya

Ikan dory dalam paket (ada 2 keping)
Telur 2 biji
1 sudu makan black pepper
Secubit garam
Minyak Masak untuk menggoreng

Bahan-bahan untuk menumis
Minyak Masak (baki dari menggoreng tadi)
5 biji bawang putih di ketuk dan didadu
1 biji bawang holland di potong baji
1 biji bawang besar di potong baji 
10 biji cili api di belah dua
2 inci halia di hiris seperti mancis
1 batang serai di hiris nipis
Sedikit daun bawang
Sedikit bawang goreng
1 sudu makan sos ikan
1 cawan air


Cara-caranya

Ikan dory di potong kecil (lebihkurang 2 inci lebar)
Pecah kan telur dalam mangkuk dan masukkan juga garam dan juga black pepper.  Pukul sehingga kembang.
Celupkan semua ikan dory tadi ke dalam telur tadi.
Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
Goreng kan ikan dory tadi sehingga kuning keemasan.  Ketepikan.


Untuk menumis sos nya

Panaskan kuali tadi, tinggal kan saki baki minyak menggoreng tadi dalam kuali.
Tumiskkan bahan2 yang di hiris tadi, seperti bawang putih, bawang holland, bawang besar, halia dan serai sehingga terbit bau harum wangi.  
Bila dah agak2 wangi, masukkan sos ikan tadi dan juga secawan air.
Biarkan mendidih sebentar, Masukkan garam jika perlu, mori tak letak garam sebab rasa dah cukup masin.  Masin tu datang dari sos ikan tadi.  
Akhir sekali masukkan daun bawang dan gaul rata.
Mati kan api.  Tuangkan kuah sos tadi ke atas ikan dory tadi.  Taburkan bawang goreng.  
Walaaa... sedia untuk di hidang.


Selamat mencuba,  Insya Allah sedapppp... pekena dengan nasi panas2, saing dengan sayur campur brokoli, kubis bunga, carrot... memang maveles.  Tips, semasa menggoreng ikan dory, pastikan api tidak terlalu besar biar sederhana, kita nak ikan tu masak sempurna di dalam nya.  balik balik kan sentiasa semasa menggoreng dalam kuali supaya rata masaknya.


(psstt... pssttt ... lawan tak apron baru mori..hehehe)

Sekian dulu dari saya,

Monday, 4 May 2015

Masak Kari Ikan Tenggiri yang simple

Assalamualaikum 

Hari nie... mori masak 2 jenis lauk aje untuk lunch.... Kari ikan tenggiri dan sayur sambal goreng..  Tapi ada gak saing kan dengan sambal belacan untuk rasa pedas. Kalau tak ada sambal belacan.... nanti rasa kurang kick... hehehe.. Mori suka pedas pedas gitu... layan dengan nasi panas... memang sedap tak hinggat... Nasib baik sekarang mori tengah control makan nasi.....kenalah jaga pengambilan makanan.

Kekadang mori buntu jugak nak masak apa untuk tengahari.  Kalau nak cepat.. mori lebih suka masak yang bergoreng... kemudian buat kan sambal atau masak kari begini.. memang cepat dan segera.   Cara mori masak kari nie... ikut cara arwah mak mertua mori.  Tapi arwah kurang guna bawang.... mori pulak, lebih kan bawang dalam masakkan kari,   Terasa sedap lagi masakkan.  


Ikan Tenggiri nie memang mahal.  Jarang2 sekali mori beli ikan tenggiri.  Bila kepasar tengok harga ikan tenggiri cecah sekilo lebih dari RM20.... fuhhhhh terasa mahalnya  Tapi kali nie, bukan mori yang membeli... ikan tenggiri nie datang jauh dari Tawau Sabah.  Rezeki kami, husben kirim dengan kawan nya yang nak balik kesini dari Tawau.  Perrggghh jauh kan........ ntah la orang lelaki... katanya nak cari yang fresh...cam kat sini tak der ikan tenggiri..... hahaha... mori malas nak gaduh.... ikut kan aje....  
Resepinya kat sini mudah sangat.... simple and segera.  Tak tau la kalau ada yang lebih ringkas.. tak der la pulak mori mencari di tenet. hehehe.. 

Resepi Kari Ikan Tenggiri

5 keping isi ikan tengiri
3 sudu makan serbuk kari di gaul dengan sedikit air (jadikan pes)
1 sudu asam jawa di gaul bersama 1 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 biji tomato di potong baji
Garam secukup rasa

Bahan2 menumis

4 biji bawang putih di hiris
5 biji bawang kecil di hiris
1/2 biji bawang besar di hiris
2 batang daun kari
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh biji halba

Cara2 nya.
1.   Panaskan kuali atau periuk,  Masukkan minyak masak secukup nya.
2.   Bila minyak panas, tumiskan bahan menumis sehingga terbit bau wangi.
3.  Masukkan pes rempah kari ikan dah tumis sehingga pecah minyak.
4.   Masukkan air asam jawan dan gaul sebati.  Masukkan juga secawan air.  Kalau rasa nak lebih lagi kuah  nya... tambah lagi sedikit air. Ikut cita rasa.  Tapi jangan nampak terlalu cair.  Nanti tak sedap.  
5.   Bila kuah telah mendidih, masukkan buah tomato dan biarkan seketika.  Masukkan juga santan pekat, dan garam.  
(Mori masukkan awal semua bahan nie, sebab ikan tenggiri cepat masak, dan mori tak mau gaul terlalu kerap, nanti ikan akan hancur)
6.  Akhir sekali masukkan ikan tenggiri. Biarkan seketika sehingga ikan masak sempurna.  

Siap sudah.  Anggaran masa mungkin dalam 20 min kot..hahaha.. tak tengok jam la pulak kan masa tu.  Mungkin mori dah biasa kot masak kari.  Sambil menyiap kan bahan, kuali dah naik atas dapur.  Semasa tunggu minyak panas, bahan untuk menumis dah tersedia.  bahan2 lain semua berdekatan dengan dapur masak, memudah kan untuk mori memasak.  Jadi waktu yang di ambil untuk memasak singkat.  Okey lah sampai di sini dahulu....


Selamat memasak, dari

Saturday, 28 June 2014

Ikan Kembung masak Sambal Kering

Assalamualaikum...

Salam Ramadhan Al Mubarak.... Semuga kita semua dikurniakan keampunan dan ketakwaan di dalam bulan yang mulia ini.  

Sempena bulan ramadhan, tentu ramai tercari cari menu untuk berbuka puasa.  Mori pun salah sorang yang akan tercari cari menu dimasak untuk berbuka. Jadi internet la tempat mori menggoggle resepi2 baru untuk dicuba.  Ada resepi yang mori ulang kali memasak .... ada yang mori cuba sekali... tapi tak sempat nak ulang semula.  Mori teringat masa bulan ramadhan... arwah mak mertua mori rajin turun ke dapur memasak bersama.  Arwah tu... tak gemar menggunakan barang eletrical seperti blender untuk mengkisar.  Dia lebih suka menggunakan lesung batu.  Tekun sungguh dia menumbuk bahan2 sehingga lumat.  Walhal blender tu duduk cantik atas para tak di usiknya.  Mori pulak... lebih suka guna blender ...hehhehe..biasa lah..nak masak cepat aje siap.  Tapi kini ada masanya bila nak buat sambal atau masak lemak....mori tetap menumbuk menggunakan lesung batu.  Rasanya lebih sedap.  Tapi tu la..jenuh nak tunggu lumat bahan2nya.  Kali nie mori nak syer Sambal kering ikan kembung yang mori masak untuk lunch tadi.  Sambalnya mori tumbuk mengguna lesung sehingga lumat.


Resepi Ikan Kembung Masak sambal kering

Bahan-bahannya

4 ekor ikan kembung yang telah di bersihkan,
2 genggam cili kering
1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
sedikit belacan
1 biji buah keras
2 keping asam keping

Cara-caranya


1.   Cili kering di gunting kecil, kemudian di rebus sehingga kembang.
2.   Matikan api bila cili telah kembang.  Toskan cili kering sehingga kering.
Kalau nak, boleh tekan2 dengan belakang sudu pada cili tadi supaya tiada air dalam cili.  Ini untuk pastikan bila kita menumbuk cili tidak terpercik ke mata.


3.   Mula2 masukkan bawang kecil, buah keras dan belacan.  Tumbuk sehingga lumat.  Kemudian baru masukkan cili tadi dan sambung tumbuk lagi sehingga hancur dan lumat.
4.   Akhir sekali baru masukkan bawang besar dan tumbuk lagi sehingga hancur dan lumat.  Kalau rasa terlampau banyak sgt bahan,, keluarkan sedikit cili tadi dan tumbukan dulu bawang dengan sebahagian cili tadi, kemudian baru campur kan semula cili tadi.


5.  Ikan kembung tadi di gaul kan dengan garam dan kunyit.  Goreng kan sehingga garing dan ketepikan.


6.  Baki minyak menggoreng ikan tadi, tumiskan bahan2 yang di tumbuk tadi sehingga wangi dan masak sempurna.  Masukkan juga asam keping semasa menumis tadi.
7.   Masukkan gula dan garam dan gaul rata. 
8.  Bila telah sempurna masak sambal tadi.  Masukkan ikan yang telah di goreng tadi dan gaul rata kesemua badan ikan.  Angkat dan boleh dihidang kan.


Siap sudah...senang kan.  

Sekian dulu dari

Monday, 21 April 2014

Masak Tempoyak Ikan Patin

Assalamualaikum semua..

Ada masa terluang sedikit... dapat la mengapdet blog.  Jarang2 sekarang mori dapat apdet. memang siyes bzz... kerja kat ofis dah bertambah banyak... tak terkejar yang mana satu nak buat.  Bila balik ke rumah....rasa nak rilek aje..malas nak pikir2.  Bila tengok tv... kekadang tv tengok kita.  Husben selalu bising..... asik tv tengok dia...hehehe  

Petang tadi cuaca mendung dan hujan...lebat, siap petir lagi...Aarrgghh!!! lega rasa nya bila hujan kerap turun.....Semuga catuan air nie berakhir.  Tak larat dah dok tadah air.  Walaupun ada masa tu... catuan air di longgar kan sedikit.  Tak de lah terkejar kejar nak membasuh pakaian, memasak...dan sebagainya. 


Menu yang mori share nie lauk semalam yang mori masak untuk lunch.   Sebenarnya ada lauk lain yang mori masak... tapi semua nya lauk yang kering tak berkuah.  Rasa tak sedap hati pulak...kalau tak berkuah....nanti husben mori akan bersuara.....lauk tak berkuah hari nie... kureng skit.....hehehe...   Jadi sebelum dia bersuara.....Mori belek2 dalam freezer.. jumpa balance ikan patin yang tak habis masak hari tu.  Ikan patin nie pon jiran mori yang kasi. Nak masak banyak2 nanti tak habis...tu yang masak sikit2 je... yang makan ikan nie cuma mori ngan husben jer..  Resepi nyer mori belajar dari kawan2... senang aje gitu.  Mori buat pedas pedas ...biar hangat..hehehe.. memang sedap bila rasa pedas pedas...ada masam2 tempoyak... pekat gitu...berulang kali cedok kuah ke nasi...hehehe.. diet tolak tepi masa tu.  Jom layan resepi nya.  Ringkas aje.  Mungkin tak sama cam orang Pahang buat...tapi janji seiras iras nyer ada kan....hehehehe

Resepi Masak Tempoyak Ikan Patin

Bahan-bahannya:
Ikan patin yang telah di bersihkan

1 genggam cili api secukup rasa pedasnya (lagi pedas lagi sedap)
1 biji cili merah
1 inci kunyit hidup
3 sudu makan tempoyak
Daun kesum secukup nya
1 biji tomato di belah 4
Asam keping (optional)

Cara-carannya:
1.   Tumbuk cili api dengan kunyit hidup sehingga hancur.
2.  Masukkan tempoyak dan tumbuk bersama(agak2 sebati)
3.  Masukkan bahan tadi ke dalam periuk bersama 2 cawan air dan biarkan mendidih.
4.  Masukkan ikan, tomato dan biarkan masak sebentar.  Lebih kurang 3 atau 4 minit. Kalau kuah agak pekat...tambah kan sedikit air lagi.  Jangan terlalu cair sangat....nanti tak sedap.
5.  Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan taburkan daun kesum ke dalam kuah dan biarkan mendidih sebentar saja.  Matikan api.  


Sekian dulu dari

Sunday, 30 March 2014

Asam Pedas Ikan Mayong, Begedil Burger Daging dan Sambal Kuinin

 Assalamualaikum

Fuuhhhhh!!!.. Berpeluh gak tengahari tadi mori mengejar masa untuk memasak   Balik aje dari pasar terus sinsing lengan prepared kan lunch untuk hari ni..... mengejar kan air paip yang masih keluar.   Selesai aje masak untuk tengahari... air paip semakin kecil..... Alhamdullilah ...sempat selesai kan tugas memasak.
Menu hari nie..... asam pedas kepala ikan mayong.... isi nya dah selamat buat lauk sebelum nie... tinggal bahagian kepala nya yang masih berbaki dalam freezer.   Mori saingkan dengan begedil burger daging, sambal kuinin dan juga sayur kailan goreng sos tiram


Ikan mayong nie rupanya lebih kurang dengan ikan duri...memang sedap kalau di masak asam pedas.  Isi nya kalau di goreng dan dimasak cuka ...memang maveles.... tak sempat lak nak tayang di sini resepinya.... dah habis makan.....hehehehe... 
Resepi masak asam pedas seperti biasa mori masak.... simple dan ringkas.

Asam Pedas Ikan Mayong

Bahan-bahannya:
Ikan mayong atau ikan lain yang telah di bersihkan

1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
1/2 inci halia
sedikit garam
(Kisar kesemua bahan sehingga hancur)

3 senduk cili kisar
2 biji tomato di belah 4
10 biji sayur bendir
2 batang serai yang telah di titik.

Garam secukup rasa
Serbuk Lada hitam
1 sudu makan asam jawa di gaul bersama 3 cawan air
2 tangkai daun kesum.

Cara-carannya
Panaskan kuali atau periuk dan masukkan minyak masak.
Tumiskan bahan kisar bersama serai sehingga terbit bau wangi.  
Kemudian masukkan pula cili kisar dan tumis sehingga masak sempurna. 
Setelah masak sempurna masukkan air asam jawa dan gaul rata.
Setelah mendidih masukkan bendir, ikan mayong tadi bersama tomato.
Masakkan sehingga semua sempurna.
Masukkan juga daun kesum.
Masukkan garam secukup rasa dan juga sediki lada hitam.
Setelah mendiih.... matikan dan sedia untuk di hidang.


Begedil daging ni... anak mori yang menyiapkan... Mori cuma bagi tunjuk ajar jer... dia yang siap kan kesemuanya.  Seronok dia...bila abah nya cakap sedap begedil yang dia masak.... tersengih panjang.  
Begedil ni mori guna daging burger dengan kentang rebus aje...reesepi yang simple... cepat dan ringkas

Begedil Burger Daging

Bahan-bahannya:
4 biji ketang di rebus sehingga lembut
4 keping burger daging di cincang lumat
2 sudu bawang goreng
Garam secukup rasa
Lada sulah
Lada hitam

Cara-carannya:
Kentang yang telah direbus sehingga lembut di toskan airnya.  
Lenyek kentang tadi sehingga hancur.  Masukkan burger daging yang telah di cincang lumat dan gaul rata.
Masukkan bawang goreng, garam dan cukup lada sudah dan lada hitam. 
Gaul kesemua bahan sehingga sebati.
Kepal kepal bahan tad menjadi bulan dan seakan leper.

Panaskan kuali dan masukkan minyak masak
Telur di pukul sehingga kembang.  Tuangkan kan ke atas begedil tadi.
Goreng kan begedil tadi sehingga agak agak keperangan.
Angkat dan toskan minyak nya.
Sedia untuk di hidang.


Sambal kuinin ni memang pembuka selera.... masa gie beli barang dapur.... terbau harum mangga kunin menusuk hidung.... terus mori capai beberapa biji.  Kalau nak beli kuinin nie kena beli lebih sikit...kekadang dapat isi nya tak beberapa cantik. 


Sekian dulu dari 

Saturday, 16 November 2013

Ikan Kaci Masak 3 rasa

Assalamualaikum .......

Yeaaaaaa...... cuti sekolah dah bermula... musim holiday..... bole gie bercuti.....tentu ramai dah buat planning untuk gie holiday kan... kemudian ada musim jemputan majlis perkahwinan di sana sini ....... menderu deru jemputan yang di terima...... musim berkhatan bagi yang mempunyai anak lelaki... hehehehe.... banyak betul musimnyer bila tiba hujung tahun.... tak lupa juga musim banjir bila tiba hujan yang turun tanpa henti....... tapi bagi mori ada satu yang seronoknyer... bila tiba musim cuti sekolah......jalanraya lengang sedikit.....  tak perlu la nak keluar awal sangat ke tempat kerja......hehehehe.. happynyer.... 

Hari ni mori nak syer resepi ikan kaci masak 3 rasa.  Sebenarnyer ikan kaci ni hasil husben gi mancing. Salah seekor ikan yang dia dapat tu...ikan kaci... Biasanya mori akan masak kari dengan ikan ni sebab isi nyer lembut dan sedap bila di masak kari. Tapi kali ni mori cuba masak 3 rasa..... selalu masak ikan siakap...tapi kali cuba dengan ikan kaci.....pergghhh memang maveles..... walaupun kulitnyer nampak cam garing tapi isi nyer tetap lembut.... Sedap bila di makan dengan nasi panas2... heehehe.. resepinyer mudah..seperti masak 3 rasa yang biasa kita buat. Mori salinkan disini juga yer.... 


Resepi Ikan Kaci 3 Rasa

Bahan bahannya
1 Ekor ikan kaci yang telah dibersihkan.
Gaulkan bersama garam dan sedikit kunyit.

Bahan2 untuk menumis
3 biji bawang putih di cincang halus.
1 bij bawang besar di potong baji
2 sudu cili kisar
1 batang serai dititik
1 inci halia di hiris halus
1/2 biji karot di potong mancis
10 biji cili api di belah dua
1 biji tomato di dadu atau di belah 6
1 potong nenas di potong kecil (mori  x masukkan sebab dah bnyk sgt bahanyer)
Cili Sos ThaI
Garam secukup rasa
Sedikit sos ikan
Gula jika suka. (Mori x letak)
1 cawan air

Cara carannya
1.   Gorengkan ikan kaci tadi sehingga masak dan ketepikan. 
2.   Tinggalkan sedikit minyak menggoreng ikan tadi Untuk menumis.
3.   Tumiskan bawang putih sehingga wangi.
4.   Masukan sedikit cili kisar dan masak sehinga wangi. 
5.   Masukkan serai, halia, bawang besar dan gaul sebati. Masukkan sos cili thai ikut banyak mana yang kita mahukan dan juga secawan air. Biarkan mendidih sebentar.
6.  Masukan karot, cili api, tomato dan daun limau purut. 
7.   Masukan garam, sos ikan dan gula jika suka. Gaul rata dan bila telah sempurna masak matikan api. 
8.   Tuangkan bahan menumis tadi ke atas ikan dan sedia untuk di hidang. 
Taburkan daun sup jika suka. 

Sekian dulu dari

Monday, 22 July 2013

Ikan Tilapia Bakar dengan Kerabu Daun Salom


Assalamualaikum semua...

Sejak beberapa hari nie... selera mori dah berkurangan.  Tak tau kenapa... mungkin penat kot balik kerja rushing nak elak jem... pas tu sampai aje rumah...sinsing lengan baju... nak masak.   Itu yang kekadang untuk membangkit kan selera... mori suka sangat bakar ikan.  Pekena pulak masa berbuka, makan ikan baru angkat dari tempat membakar... panas panas gitu...perggghhh... memang maveles... Pas tu di joint kan sekali dengan ada nya kerabu... tak kisah lah kerabu mangga ke...kerabu salom ke... kerabu urap tauge ker... memang kena sangat.  Memang tak toleh kiri kanan lagi dah... hehehe...laju jer...
Resepi ni dah banyak kali mori buat... memang suka sangat.. simple dan ringkas.... cepat di masak hehehehe...


Mori bakar ikan tilapia merah kali nie.... nak tukar selera... memang sedapp ....lembut aje isi nya.  Masa nak bakar ikan.... mori balutkan dengan daun pisang... membuatkan aroma nya bertambah wangi.hehehe.. tak caya leh cuba ...

Resepi Ikan Tilapia Bakar Bersambal

Bahan-bahannya:
4 ekor ikan Tilapia yang telah di bersihkan

1 biji bawang besar
5 biji bawang putih
1 batang serai
1 inci kunyit hidup
(kisar kan semua bahan ini sehingga hancur)

3 sudu makan cili kering kisar
Garam secukup rasa
Gula sesudu teh

Cara-caranya:
1.   Gaul bahan yang di kisar bersama cili kering kisar sehingga sebati.
2.   Panaskan kuali dan masukkan minyak masak secukupnya.
3.   Tumiskan bahan2 tadi sehingga masak.  Masukkan garam dan gula secukup rasa.
4.   Bila telah masak matikan api dan biarkan sejuk.
5.  Angkat sambal tadi dan gaul kan bersama ikan sehingga rata.
6.  Boleh lah di bakar bersama dengan daun pisang sehingga ikan masak sempurna.
7.  Sediakan air cicah asam untuk di cicah bersama ikan bakar.


Resepi Air Asam

2 biji cili merah di cincang halus
5 biji cili api di cincang halus
4 biji bawang kecil di hiris halus
1 helai daun limau purut di hiiris halus
1 batang serai di hiris nipis

Sedikit belancan
1 sudu makan asam jawa
1 cawan air masak.
Garam secukup rasa

Cara-caranya
Gaulkan belacan, asam jawa, garam dan air sehingga sebati.
Buang kan biji asam jawa... karang tergigit haru pulak hehehe
Masukkan bahan yang dicincang dan dihiris tadi ke dalam air asam.
Gaul rata.  Siap untk dicicah.


Resepi Kerabu Daun Salom

Bahan-bahannya:
2 ikat daun salom di bersihkan dan di toskan.
(Mori amik daun dan bahagian batangnya yang lembut saje)
1/2 biji kelapa parut di goreng ke perangan
2 sudu makan ikan bilis
1 biji limau nipis
3 biji cili merah
3 biji cili api
3 bii bawang kecil
1/2 inci belacan bakar
Garam secukup rasa.

Cara-caranya
1.   Hiris kasar daun salom dan ketepikan
2.   Dengan menggunakan lesung, tumbukkan cili merah, cili api, belacan, bawang kecil dan juga ikan bilis hingga hancur tapi kasar sikit. Masukkan juga sedikit garam.
3.   Gaulkan bahan yang di tumbuk tadi bersama kelapa yang telah di goreng keperangan tadi.
4.   Kemudian gaulkan kesemua bahan bersama dengan daun salom.  Perahkan jus limau nipis tadi dan gaul sehingga rata. 




Monday, 17 June 2013

Asam Pedas Jintan Manis

Jintan Manis

Asam Pedas ikan cencaru ne mori masak sabtu lepas .... itu pun sekadar untuk menambah lauk yang berkuah untuk husben mori. Mori pulak tak kisah sangat makan lauk yang kering2... tapi kalau ada kuah tu lagi ummmphhh!!! la... Mori cuma masukkan seekor jer ikan cencaru dalam asam pedas kali nie. 
Yang lain sikit asam pedas kali nie ialah ada jintan manis dalam bahan yang di kisar.  Memang sebelum nie mori masak asam pedas tak pernah letak jintan manis..... tapi nak di jadi kan citer... jiran mori terserempak dengan husben mori kat pasar tani tengah shopin paru lembu untuk di masak goreng berempah makan tengahari.  Jiran mori tu terus pelawa diri untuk ajar cara2 perap paru lembu ikut resepi doang pulak...hehehe.. Dorang tu pulak memang pandai memasak dan peramah.  Apa lagi bila orang dah offer diri....kita pun bagai pucuk di cita ulam mendatang.....terima jer la...hehehehe   
Masa dalam sibuk2 menyediakan bahan untuk perap paru lembu tu...kita orang berkongsi resepi masak asam pedas.  Hampir sama resepi kami cuma dia ada letak jintan manis dalam bahan yang di kisar.  Mori pun apa lagi.... kebetulan memang nak masak asam pedas, mori tambah kan sesudu kecil jintan manis dalam bahan yang di kisar.    Hati tu nak juga tau cam mana rasa asam pedas yang letak jintan manis. 


Alhamdullilah....memang sedap rasanya.... tak lah terasa jauh sangat perbezaanya... tapi memang terasa sedap... hehehe... next time kalau nak tukar tukar selera masak asam pedas...boleh letak jintan manis... bila dah rasa boring, kita omit je lar jintan manis tu.... hehehe.. seronok pulak bila ada banyak cara untuk masak asam pedas.... boleh di pelbagai kan...
Terimakasih Ani dan Syikin for sharing recipes... maveles you all...hehehe..


Resepi Asam Pedas Jintan Manis
Bahan-bahannya:
1 ekor ikan cencaru sederhana besar di potong 2
3 sudu makan cili kisar
1 sudu makan asam jawa
1 cawan air
4 cawan air
1 tangkai daun kesum
1 biji tomato di belah 4
Garam secukup rasa

Bahan di kisar
1 biji bawang merah besar
2 biji bawang putih
1 biji buah keras
1 sudu kecil belacan
1 sudu kecil jintan manis
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

Cara-caranya:
1.   Panaskan periuk dan masukkan minyak masak.
2.   Bila minyak telah panas, tumiskan bahan yang di kisar sehingga terbit minyak dan berbau wangi.
3.   Masukkan cli kisar tadi dan kacau sehingga masak.
4.   Satukan pes asam jawa bersama secawan air dan masukkan ke dalam periuk.  Gaul rata.
5.   Kemudian masukkan 4 cawan air dan biarkan mendidih sebentar.
6.   Masukkan tomato, ikan dan daun kesum.  Biarkan mendidih sehingga ikan masak sempurna.
7.   Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...